Hospital swasta calon 5 pakar bantu majlis penasihat kertas putih kesihatan

Hospital swasta calon 5 pakar bantu majlis penasihat kertas putih kesihatan

APHM berkata, kelima-lima ahlinya itu akan dapat mengukuhkan perkongsian hospital swasta dengan penyedia penjagaan kesihatan kerajaan.

Menurut hospital swasta, mereka boleh menyumbang kepada kertas putih untuk memperbaharui sistem penjagaan kesihatan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mencalonkan lima ahli yang mewakili konglomerat hospital swasta berbeza untuk membantu majlis penasihat kertas putih kesihatan.

Persatuan itu, yang sebelum ini menyatakan pakar sektor swasta telah dikecualikan daripada majlis itu, berkata kelima-lima individu itu akan dapat mengukuhkan perkongsian hospital swasta dengan penyedia penjagaan kesihatan kerajaan.

“Kami berpendapat bahawa sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta semasa adalah mampan, dengan syarat usaha kerjasama selanjutnya boleh dilakukan, tetapi dengan nasihat dan pengetahuan dari lapangan, terutamanya daripada pengendali hospital swasta,” kata presidennya, Dr Kuljit Singh, dalam kenyataan.

Beliau berkata, lima calon itu masing-masing mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pengurusan hospital swasta dan organisasi mereka telah wujud selama 40 hingga 50 tahun.

“Presiden dan setiausaha APHM akan mewakili kumpulan hospital kecil lain dan hospital swasta yang berdiri sendiri,” katanya.

Majlis penasihat itu, yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin minggu lepas, dipengerusikan bersama oleh bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam dan pengerusi Axiata Group Shahril Ridza Ridzuan.

Khairy berkata, peranan utama majlis itu adalah untuk menyumbang idea, saranan dan nasihat kepada kementerian dalam proses menyediakan kertas putih untuk memperbaharui sistem penjagaan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, APHM berkata, ia berharap Khairy akan dapat mengekalkan kerusi Parlimennya pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) dan terus menjadi menteri kesihatan.

Kuljit berkata, sumbangan Khairy kepada penjagaan kesihatan negara adalah penting “terutamanya semasa wabak dan kini dalam penyediaan kertas putih penjagaan kesihatan yang dicadangkan”.

“Usaha beliau telah menambah baik asas yang dibina oleh menteri-menteri terdahulu, tetapi keberaniannya untuk meningkatkan perkongsian dengan pihak berkepentingan penjagaan kesihatan swasta patut dipuji,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.