Polis tahan wanita hamil, 4 lelaki disyaki bantu Ah Long

Polis tahan wanita hamil, 4 lelaki disyaki bantu Ah Long

Semua suspek dipercayai membaling cat merah dan mengunci pagar rumah terhadap 31 individu yang dikatakan berhutang dengan ah long dikenali sebagai ‘Jimmy’.

Polis berkata semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita mengandung antara lima individu ditahan selepas disyaki membantu ah long atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen termasuk mengugut mangsa di sekitar Kuantan.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, wanita itu bersama empat lelaki terbabit dipercayai membaling cat merah dan mengunci pagar rumah 31 individu yang dikatakan berhutang dengan ah long dikenali sebagai “Jimmy”.

“Kesemuanya yang berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan di sekitar perkampungan Permatang Badak dan Sungai Isap, Kuantan dalam serbuan, 4 petang Khamis lalu (1 Sept) dan mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan ini sejak setahun lalu.

“Polis merampas pelbagai barangan seperti cat merah, peluntur cat, plastik berisi cat merah yang dipercayai untuk disimbah ke rumah mangsa serta rantai dan mangga besi bagi mengunci rumah mangsa,” katanya menurut laporan Bernama.

Wan Mohd Zahari berkata, semua suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau dadah itu direman sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.