
Pada tahun ini, katanya, beberapa lagi seksyen lebuh raya itu dijangka dibuka, manakala tiga seksyen, iaitu Sarikei, Bukit Begunan serta Lambir, dijangka siap tahun depan.
“Tiga seksyen itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk cabaran di tapak yang memerlukan penelitian semula,” katanya selepas menghadiri Program Libat Urus bersama Media Sarawak malam tadi.
“Malah, ada juga yang memerlukan pengolahan semula reka bentuk kerana faktor keadaan muka bumi tidak sesuai.”
Fasa satu projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 786km dari Telok Melano ke Miri melibatkan kos RM16.117 bilion.
Sementara itu, Fadillah berkata, Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB). Peruntukan siling RM12 bilion ditetapkan bagi kedua-dua projek itu.
“Kita juga harap dapat memuktamadkan penganugerahan kontrak kepada kontraktor tahun ini dan awal tahun depan projek ini dapat dimulakan.”
Pada 7 Ogos lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah meluluskan Projek Fasa 2 SSLR serta Projek LTB, dengan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.
Ismail berkata, penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan masa tiga hingga lima tahun.
Katanya, projek itu bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya, malah memanfaatkan penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.