
Pemangku Ketua Polis Pahang, Abd Razak Mohd Yusoff, berkata kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama tujuh hari yang membawa kepada penahanan 16 lelaki tempatan berusia 18 hingga 65 tahun, termasuk seorang individu dipercayai pemilik stor terbabit.
“Serbuan bermula 4.10 petang semalam oleh pasukan dari Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion 7 PGA ke atas sebuah lori yang dinaiki dua suspek di Jalan Perindustrian Semambu yang menemui dua tangki berisi diesel.
“Ia seterusnya membawa kepada serbuan bersama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang di stor tersebut dan 38 tangki dengan 34 daripadanya berisi diesel antara 200 hingga 900 liter setiap satu,” katanya dalam kenyataan.
Razak berkata, turut dirampas tiga lori, enam kereta, dua set pam penyedut dan hos, sebuah generator elektrik, resit pembelian minyak diesel dari pelbagai stesen minyak (81 keping), telefon bimbit (16) yang keseluruhannya berjumlah RM582,550.
Semua suspek diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen yang boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.