
Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, UM telah membuat laporan polis dan pihaknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkaitan.
“Siasatan diserahkan kepada universiti yang mempunyai autonomi sendiri, jadi UM menjalankan siasatan dan membuat laporan polis (untuk tindakan lanjut),” katanya selepas penutupan Karnival Komuniti@KKBSe di pekarangan Kolej Komuniti Bagan Serai.
Beliau mengulas perkembangan seorang pelajar asing membuat laporan polis terhadap UM mendakwa kajiannya diambil tanpa pengetahuan.
Menerusi video lebih seminit itu, pelajar berkenaan antaranya memaklumkan telah menghabiskan hampir dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan dan kecewa apabila kajiannya diambil pihak universiti.
Pada 29 Ogos lepas, UM dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan berkata, menjadi dasar universiti bahawa hasil penyelidikan dan ilmiah merupakan hak milik universiti.
UM dilaporkan membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan calon itu dan sedang mengkaji tindakan perundangan bersesuaian.
Kenyataan itu turut menyatakan pihak universiti memberi peluang dan sumber bagi membantu calon terbabit menyempurnakan PhD, termasuk lanjutan tempoh pengajian sebanyak tiga semester selepas tamat tempoh maksimum 12 semester dengan yuran ditaja fakulti.
Bagaimanapun, calon itu belum menamatkan pengajian mengikut tempoh lanjutan yang diberikan, malah UM turut mengadakan beberapa sesi kaunseling dan melantik penyelia tambahan bagi membantu beliau.
Terdahulu, Noraini dalam ucapannya berkata, penawaran kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti diterima baik semua golongan masyarakat dan dijadikan platform serta usaha berterusan untuk memajukan diri dalam menceburi bidang teknikal dan vokasional, seterusnya berpeluang mencipta kerjaya pada masa depan.
“Penawaran kursus ini di kolej komuniti dan politeknik berperanan memberi pengetahuan dan kemahiran kepada masyarakat dalam pelbagai bidang tanpa mengira peringkat umur.
“Tambahan ilmu dan kemahiran ini dapat membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup, sekali gus mempersiapkan diri memasuki Revolusi Perindustrian 4.0 yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring transformasi digital.”