PAS ikrar pertahan 3 negeri, gesa ahli wala’ walau beza pandangan

PAS ikrar pertahan 3 negeri, gesa ahli wala’ walau beza pandangan

Usaha mempertahankan tiga negeri itu penting kerana ia adalah ‘negeri pengkalan’ bagi melaksanakan agenda Islam, kata Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi Awang berkata perbezaan pendapat adalah perkara biasa dan ahli mesti taat serta wala’ kepada keputusan parti.
ALOR SETAR:
PAS ikrar untuk mempertahankan tiga negeri yang dipimpin parti itu iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata usaha mempertahankan tiga negeri itu penting kerana ia merupakan “negeri pengkalan” bagi melaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

“Kawasan Parlimen dan DUN yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian.

“Menarik sokongan rakyat seramai mungkin mesti dilakukan dengan apa jua cara melalui kefahaman dan kesedaran, termasuk khidmat masyarakat dan kegiatan sosial,” katanya ketika ucapan dasar presiden Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah.

Dalam ucapan itu, Hadi memilih untuk tidak menyingkap isu-isu panas seperti hubungan PAS-Umno, penggunaan logo untuk PRU15 mahu pun “menyerang” Pakatan Harapan yang dilihat musuh utama parti itu.

Dalam pada itu, Hadi menggesa ahli supaya terus wala’ kepada keputusan parti walaupun berbeza pandangan selagi ia tidak menyalahi syarak.

“Jangan berkelahi di cawangan, kawasan, negeri, dewan-dewan dan pusat. Kita mesti bersatu padu dalam jemaah ini dan jangan berpecah.

“Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, yang penting menjaga adab dalam perbezaan. Mesti taat dan wala’ kepada keputusan parti dan kepimpinan, sama ada suka atau tidak, senang atau susah, selagi mana tidak menyalahi syarak,” katanya.

Katanya, PAS juga perlu melakukan persediaan bagi mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.

“Di sini peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘Boleh Menang’, ‘Boleh Diterima’, dan ‘Boleh Mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri.

Pengundi baharu, warga emas dan bukan Islam

Kata Hadi, jentera pilihan raya perlu menyantuni warga emas kerana parti itu mengambil kira saiz pengundi golongan itu yang semakin meningkat di setiap Parlimen atau DUN.

Katanya, sokongan pengundi muda yang pertama kali mengundi pula akan menjadi kunci atau faktor utama untuk PAS memenangi PRU15.

“Undi penentu daripada kalangan anak muda perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat.”

Katanya, PAS juga perlu mendekati pengundi tidak berparti (PTB) dan bulan Islam, dengan membuktikan kemampuannya menjuarai isu rakyat, khidmat kebajikan, urus tadbir baik, konsep adil untuk semua dan jaminan hak beragama orang bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.