
Dalam kenyataan, JPPKK berkata, mereka telah bertindak pantas untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap kenyataan yang dibuat pensyarah terbabit.
“Pihak JPPKK memandang serius terhadap insiden sebegini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba merosakkan nama baik JPPKK sama ada secara langsung atau tidak.
“Selain itu, pihak JPPKK ingin menegaskan bahawa Politeknik dan Kolej Komuniti merupakan sebuah rangkaian institusi pendidikan tinggi awam yang berfokuskan TVET kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, berkata apa yang dibicarakan pensyarah itu terkeluar dari kerangka silibus dan tujuan subjek Etika dan Peradaban yang diwajibkan ke atas institut pengajian tinggi.
“Saya dapati ucapan pensyarah di dalam video ini terlalu berbaur politik perkauman dan agak parokial pada sesetengah laras bahasa yang digunakan. Ini bukanlah semangat atau ruh subjek berkenaan. Malah boleh dikatakan agak tersasar.
“Memandangkan video ini telah tular melata, elok bagi pensyarah tersebut membuat penjelasan terhadap ucapan beliau yang tersasar dari kandungan dan parameter subjek Etika dan Peradaban tersebut,” katanya yang mendakwa pensyarah itu mengajar di sebuah politeknik di Lembah Klang.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim, berkata pensyarah itu mengendalikan pembelajarannya dalam kenderaan, sambil menyifatkannya sebagai tidak profesional.
Katanya kepada FMT, apa yang diperkatakan pensyarah berkenaan tersasar dari topik yang sepatutnya.
“Kebiasaannya, pensyarah mempunyai nota untuk dijadikan rujukan dalam ‘share screen’ dengan penuntutnya sekiranya kuliah dibuat secara tersusun,” katanya.
Beliau berkata, kandungan video tular hanyalah cebisan daripada keseluruhan kuliah, yang dikatakannya lebih panjang.