Walau Rosmah disabit bersalah, projek solar perlu diteruskan, kata menteri Sarawak

Walau Rosmah disabit bersalah, projek solar perlu diteruskan, kata menteri Sarawak

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia akan memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar di Sarawak.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau tidak pasti sama ada projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion itu sudah dilaksanakan.
PETALING JAYA:
Seorang menteri Sarawak berkata, projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di negeri itu perlu diteruskan walaupun Rosmah Mansor disabitkan kesalahan rasuah berkaitan projek berkenaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau tidak pasti sama ada projek itu sudah dilaksanakan, tetapi mempertahankan bahawa ia akan memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar di Sarawak.

“Kami hanya boleh berharap projek itu akan diteruskan kerana hasrat asal projek hibrid solar adalah untuk membekalkan elektrik kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar,” katanya menurut laporan Borneo Post.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah berkaitan projek berkenaan.

Hakim Zaini Mazlan membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta untuk dirinya sendiri, daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin yang dibuat melalui bekas pembantu Rizal Mansor, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek tenaga solar.

Dia juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016 dan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Karim berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menunjukkan bahawa kedaulatan undang-undang ditegakkan di Malaysia, tanpa mengira status individu itu.

“Sama ada anda merupakan perdana menteri, bekas perdana menteri atau bekas ‘wanita pertama’, ia tidak bermakna anda kebal undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.