
“Kami akan memilih vendor tidak lama lagi berdasarkan tender terbuka dan kami akan menaik taraf serta menempatkan rekod perubatan elektronik baharu di semua hospital awam di Negeri Sembilan serta klinik kesihatan.
“Apabila penempatan itu berjaya, kami akan dapat pergi ke seluruh negara,” katanya menurut Bernama.
Rekod perubatan elektronik sepenuhnya dicadang pada 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan menerusi menteri kesihatan ketika itu, Dzulkefli Ahmad, yang menyatakan tender akan dikeluarkan setahun selepas itu.
“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu,” katanya dalam laporan. Bagaimanapun, tiada pengumuman susulan dibuat.
Katanya, 35 daripada 145 hospital kerajaan sudah memiliki sistem teknologi maklumat bagi merekod perawatan pesakit termasuk Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
Pengumuman Khairy, hari ini, susulan pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) melibatkan kerjasama empat hospital serta sebuah institusi perubatan.
Hospital berkenaan ialah Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, Hospital Bera di Pahang dan Hospital Rembau, Negeri Sembilan serta Institut Kanser Negara.
Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba, berkata hab itu berperanan untuk menangani cabaran kritikal sektor perubatan dan penjagaan kesihatan di Malaysia melalui teknologi termasuk penggunaan robotik seperti Kenderaan Berpandu Automatik (AGV) dan dron dilengkapi teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
“Saya melihat dengan adanya hab teknologi kesihatan, perkara penting yang dapat diberi tumpuan adalah mewujudkan satu ekosistem lengkap dengan kemudahan hospital, pusat penyelidikan dan rujukan, tenaga kerja kemahiran tinggi, pusat ilmu dan latihan serta perkara berkaitan,” katanya.
Pada majlis itu, Adham turut mengumumkan hab berkenaan akan disokong oleh Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu seluas empat hektar yang antara lain akan mempercepatkan penerokaan dan pembangunan kerja dalam penjagaan kesihatan serta teknologi perubatan.