Saya tulis sendiri penghakiman, kata hakim

Saya tulis sendiri penghakiman, kata hakim

Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah Mansor yang dikemukakan pada saat-saat akhir agar beliau menarik diri daripada mendengar kesnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata, keputusan dalam kes Rosmah Mansor adalah dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang.
KUALA LUMPUR:
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan terus mendengar dan membuat keputusan dalam kes rasuah Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Zaini menolak permohonan Rosmah yang dikemukakan pada saat-saat akhir agar beliau menarik diri daripada mendengar kesnya.

“Maaf kerana membuatkan semua orang ternanti-nanti. Saya gagal mencari orang yang sudi menulis penghakiman untuk saya, jadi saya terpaksa tulis sendiri.

“Saya harap unit penyelidikan maafkan saya tetapi saya tidak membaca pendapat mereka… Sejujurnya, saya sentiasa melakukan sendiri tugas saya, sesusah manapun ia. Sesiapa sahaja boleh menyatakan pendapat masing-masing namun yang penting adalah pendapat saya sendiri,” katanya.

Hakim itu berkata berkata dokumen terbabit (kononnya penghakiman kes Rosmah yang bocor) bukanlah alasan penghakiman yang disediakan olehnya dan beliau tidak akan menggunakan ia dalam penghakiman.

“Saya telah melakukan kajian sendiri. Saya telah menulis 200 penghakiman setakat ini dan semuanya saya tulis sendiri. Ramai yang tidak menyedari betapa sukarnya tugas saya. Saya tidak mempunyai prejudis terhadap beliau (Rosmah).

Zaini berkata keputusan dalam kes Rosmah adalah dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang.

“Apa jua perasaan, kita tinggalkan di luar pintu sebelum duduk di kerusi hakim,” katanya sebelum menolak permohonan Rosmah.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu atas alasan penghakiman yang bocor dalam kes beliau dan telah ditularkan oleh media massa serta elektronik pada 26 Ogos lepas disediakan oleh pihak lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.