
Menurut presidennya, Azman Yusoff berkata, kesan itu susulan kenaikan harga bahan binaan hingga menjejaskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka.
Beliau berkata, industri itu turut berdepan isu kekurangan pekerja tapak binaan yang berterusan, lonjakan mendadak kos logistik serta kelewatan pembekalan bahan binaan dari luar negara.
Katanya, dengan adanya pakej rangsangan itu, beliau yakin ia bakal memberi kesan berganda kepada semua rantaian dalam industri binaan, termasuk pembekal bahan binaan, kedai perkakas serta pelbagai segmen perniagaan lain.
“Kami memohon supaya ada peruntukan segera disediakan bagi kontraktor kecil ini untuk melakukan kerja khusus seperti kerja penyelenggaraan dan lain-lain, dengan tawaran kerja boleh dilaksana menerusi sistem undian di jabatan kerajaan dan sebagainya.
“Kami merayu agar bantuan bersasar kepada kontraktor kecil G1 dan G2 diberi perhatian dan pertimbangan mendalam oleh kerajaan menerusi Bajet 2023, kerana sumbangan ribuan kontraktor ini kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat amat besar sekali.
“Wajarlah jika kerajaan meletakkan kumpulan kontraktor kecil G1 dan G2 sebagai antara kumpulan penggerak utama kepada usaha pemulihan ekonomi negara, khususnya di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika ini, PKBM merekodkan sejumlah 91,252 kontraktor kecil G1 dan G2 berdaftar, meliputi 67,475 kontraktor G1 serta 23,777 kontraktor G2.
Julai lalu, PKBM dilaporkan berkata, kira-kira 75 hingga 85 peratus projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di negara ini berada dalam keadaan ‘kritikal’ disebabkan kenaikan harga barang melebihi 15 peratus dan situasi inflasi yang kian meruncing.