Perjalanan feri Langkawi masih tak tambah selepas arahan kerajaan

Perjalanan feri Langkawi masih tak tambah selepas arahan kerajaan

Kerajaan sudah mengarahkan operator feri memastikan sekurang-kurangnya lima perjalanan sehari mulai esok sempena cuti sekolah penggal kedua.

Persatuan Pelancongan Langkawi bimbang industri itu akan mengalami kerugian jika tiada perkhidmatan feri yang mencukupi untuk membawa pelawat ke pulau itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai pelancongan bimbang feri yang membawa pelancong ke Langkawi sempena musim cuti sekolah yang akan bermula hujung minggu ini mungkin tidak mencukupi.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, berkata kerajaan sudah mengarahkan operator feri memastikan sekurang-kurangnya lima perjalanan sehari bagi setiap laluan mulai esok.

Tetapi, katanya, tinjauan di laman Cuti-Cuti Langkawi yang mengendalikan pembelian tiket dalam talian mendapati jumlah perjalanan feri masih tidak bertambah.

“Bahkan pada Ahad ini, hanya tiga feri dijadualkan dari Kuala Perlis ke Langkawi, sedangkan cuti sekolah sudah bermula,” katanya menurut Kosmo.

Cuti sekolah penggal kedua bagi Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bermula 2 hingga 10 Sept ini, manakala Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan dari 3 hingga 11 Sept.

Zainudin berkata, jika tiada tindakan diambil, industri pelancongan akan menanggung kerugian kerana pelancong tidak mempunyai pengangkutan ke Langkawi.

Beliau turut mendakwa statistik kemasukan pelancong yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) “tidak menggambarkan situasi sebenar” kerana jumlah perjalanan feri yang terlalu sedikit bermakna perkhidmatan itu hanya digunakan penduduk tempatan.

Pengusaha pelancongan di Langkawi, Ahmad Pishol Ishak turut menggesa operator feri menambah jumlah perjalanan dan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Beliau turut mengingatkan pelancong menempah tiket lebih awal bagi memastikan mereka dapat ke pulau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.