Pembelaan Rosmah penafian semata-mata, kata hakim

Pembelaan Rosmah penafian semata-mata, kata hakim

Zaini Mazlan berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah bagi kesemua tiga tuduhan terhadapnya.

Pembelaan dikemukakan Rosmah Mansor gagal menimbulkan keraguan munasabah, kata Hakim Zaini Mazlan dalam penghakimannya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi berkata, hujahan dikemukakan pembelaan kes Rosmah Mansor bagi tiga tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 juta sekadar satu penafian semata-mata.

Hakim Zaini Mazlan berkata: “Pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata tanpa bahan bukti yang boleh dipercayai.”

Pembelaan dikemukakan juga tidak menimbulkan keraguan munasabah, katanya dalam penghakiman sepanjang 116 muka surat itu.

Zaini berkata, pendakwaan sebalinya telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah bagi kesemua tiga tuduhan terlibat.

Terdahulu, pendakwaan dalam hujahnya menegaskan pembelaan Rosmah tidak kukuh khususnya dakwaan bahawa dia adalah mangsa konspirasi.

Rosmah mendakwa mereka yang sebenarnya bersalah termasuk bekas pembantunya Rizal Mansor, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan bekas rakan niaganya, Rayyan Radzwill Abdullah.

Mahkamah mendapati Rosmah bersalah meminta RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion berkenaan.

Dia menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Disember 2016, dan RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap satu tuduhan terhadapnya, dengan kesemua hukuman itu berjalan serentak.

Selain itu, beliau turut mengarahkan Rosmah menjalani hukuman penjara 10 tahun tambahan sekiranya gagal melunaskan denda RM970 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.