
Ahli Parlimen Segambut itu bertanya demikian susulan laporan bahawa pemain bola sepak kelahiran Britain, Lee Tuck, yang bermain untuk Sri Pahang FC, kini menjadi warganegara Malaysia secara naturalisasi.
Sebelum ini, pemain bola sepak lain seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula turut mendapat kerakyatan melalui proses sama.
“Mestikah anak-anak tidak bernegara ini bermain bola sepak dahulu sebelum pihak berkuasa prihatin dengan nasib mereka?” soal Yeoh dalam satu catatan di Facebook.
“Inilah sebabnya dari awal saya memperjuangkan penubuhan kementerian untuk kanak-kanak kerana kita mampu (belanja) berbilion untuk kepentingan lelaki, tetapi kedekut untuk melindungi kanak-kanak.”
Tahun lepas, Yeoh mencadangkan agar kerajaan menubuhkan kementerian kanak-kanak untuk menjaga keperluan golongan itu di negara ini.
Mac lepas, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto membangkitkan isu kerakyatan pemain bola sepak warga asing di Dewan Rakyat.
Beliau menyatakan bahawa pemain bola sepak boleh mendapat kerakyatan setelah bermain di negara ini selama lima tahun, sedangkan individu tidak bernegara yang lahir di negara ini hanya diberikan MyKad apabila lanjut usia.
Tambahnya, dengan hampir 2,000 kanak-kanak tidak bernegara setakat September 2019, kerajaan seharusnya membetulkan keutamaan dengan terlebih dahulu memberi kerakyatan kepada orang tempatan yang patut mendapatkannya.