Jangan biar Belanjawan 2023 jadi alat pilihan raya BN, kata Guan Eng

Jangan biar Belanjawan 2023 jadi alat pilihan raya BN, kata Guan Eng

Pengerusi DAP itu berkata, belanjawan persekutuan tahun depan sepatutnya untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara, bukannya mengukuhkan prospek pilihan raya BN.

Lim Guan Eng berkata, PRU15 tidak patut diadakan tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memberi amaran mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tahun ini mungkin menyebabkan Belanjawan 2023 diperalatkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, walaupun Umno betul mengenai ekonomi negara dalam keadaan merosot, parti itu bertanggungjawab menggugat kestabilan perdana menteri mereka sendiri dengan ugutan berulang kali mengadakan PRU15 lebih awal.

“PRU tidak patut diadakan tahun ini bagi mengelakkan pembentangan Belanjawan 2023 menjadi ‘belanjawan pilihan raya’ yang direka khasnya bukan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara, tetapi mengukuhkan prospek pilihan raya perdana menteri dan partinya.”

Lim turut mendakwa dividen RM50 bilion yang diumumkan Petronas buat kerajaan pada tahun ini tidak akan digunakan demi manfaat rakyat, tetapi “disia-siakan bagi kepentingan politik”.

“Rakyat perlu mengambil balik semangat Merdeka daripada ahli politik tidak bertanggungjawab dan memastikan akauntabiliti penuh terhadap penggunaan dan perbelanjaan RM50 bilion dana awam itu.”

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, Dewan Rakyat akan mula bersidang pada 3 Okt ini, dengan Belanjawan 2023 dibentangkan pada 7 Okt ini, tiga minggu lebih awal daripada jadual asal.

Katanya, perubahan tarikh itu tiada kaitan dengan PRU15, yang dijangkakan ramai akan diadakan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.