PM yakin unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini dicapai

PM yakin unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini dicapai

Ismail Sabri Yaakob berkata, momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 dijangka berterusan sehingga penghujung tahun ini.

 Ismail Sabri Yaakob berkata unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 5.3% dan 6.3% bagi tahun ini mampu dicapai. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yakin unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 5.3% dan 6.3% bagi tahun ini mampu dicapai.

Berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini hari ini, beliau berkata momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 dijangka berterusan sehingga penghujung tahun ini.

“Kematangan Keluarga Malaysia dan keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan melalui pendekatan collaborative mindset, kita dapat memberi fokus untuk memacu semula pemulihan ekonomi negara dengan pantas dan berkesan.

“Keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara keseluruhan dan pembukaan sempadan antarabangsa antara tindakan yang paling tepat untuk melonjakkan kembali kitaran ekonomi,” kata beliau.

Hasilnya hari ini, Ismail berkata ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9%, merupakan yang terbaik di Asia Tenggara.

Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh tahun ke tahun sebanyak 44% kepada RM132.8 bilion pada Jun tahun ini.

“Untuk separuh masa pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik, iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.