Zuraida dijangka ambil alih jawatan presiden PBM Oktober ini

Zuraida dijangka ambil alih jawatan presiden PBM Oktober ini

Ahli Parlimen Ampang itu diberi mandat mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, khasnya perbincangan membentuk kerjasama politik.

Zuraida Kamaruddin dijangka mengambil alih jawatan presiden Parti Bangsa Malaysia yang kini disandang Larry Sng pada Oktober ini.
PETALING JAYA:
Zuraida Kamaruddin dijangka mengambil alih jawatan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) sepenuhnya yang kini disandang Larry Sng pada Oktober ini.

Sumber memaklumkan pengumuman itu akan dibuat pada Perhimpunan Agung Tahunan PBM.

“Ya, pengumuman akan dibuat ketika perhimpunan agung tahunan, ketika tu akan dibuat perubahan di mana Zuraida akan jadi presiden dan Sng timbalan presiden PBM,” katanya kepada FMT.

Sng menyertai PBM dan dilantik sebagai presiden pada Januari lalu.

Enam bulan selepas itu, Sng dalam sebuah majlis mengumumkan Zuraida sebagai presiden pengganti yang akan menerajui PBM, di mana keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh semua ahli mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBM.

Zuraida kini diberi mandat mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama perbincangan membentuk kerjasama politik.

PBM telah menghantar permohonan menyertai Barisan Nasional dan masih menunggu keputusan gabungan tersebut.

Pada 14 Ogos lalu, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata, parti itu mampu meraih sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-15 dengan kekuatan 200,000 ahli di 162 bahagian seluruh negara.

Katanya, PBM juga akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi wakil rakyatnya pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.