UM nafi tuduhan curi kajian calon PhD

UM nafi tuduhan curi kajian calon PhD

Laporan polis sudah dibuat Universiti Malaya bagi menafikan tuduhan calon berkenaan.

Universiti Malaya memaklumkan calon terbabit belum menamatkan pengajian mengikut tempoh lanjutan walaupun diberi peluang, sumber dan tajaan daripada fakulti.
PETALING JAYA:
Universiti Malaya (UM) menafikan tuduhan yang tular di media sosial oleh seorang calon ijazah doktor falsafah (PhD) antarabangsa yang mendakwa kajiannya diambil penyelia tanpa kebenaran.

UM berkata, menjadi dasar universiti bahawa hasil penyelidikan dan ilmiah merupakan hak milik universiti.

Sehubungan itu, UM sudah membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan calon tersebut dan sedang mengkaji tindakan perundangan bersesuaian.

Menurut UM, pihak universiti telah memberi peluang dan sumber bagi membantu calon terbabit menyempurnakan PhD termasuk pelanjutan tempoh pengajian sebanyak tiga semester selepas tamat tempoh maksimum 12 semester dengan yuran ditaja fakulti.

Bagaimanapun, UM memaklumkan calon terbabit belum menamatkan pengajian mengikut tempoh lanjutan yang diberi.

“Universiti juga telah mengadakan beberapa sesi kaunseling dan melantik penyelia tambahan bagi membantu beliau.

“Namun, calon tersebut masih didapati tidak berupaya untuk menamatkan pengajiannya dalam tempoh pelanjutan yang diberi,” kata UM dalam kenyataan.

Terdahulu, tular di media sosial seorang pelajar asing membuat laporan polis terhadap UM mendakwa bahawa kajiannya diambil tanpa pengetahuan.

Melalui video berdurasi lebih seminit itu, pelajar terbabit memaklumkan menghabiskan hampir dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut, tetapi akhirnya kecewa apabila kajiannya diambil pihak universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.