
Susulan itu, mangsa ke Balai Polis Chukai membuat laporan mengenai kejadian yang berlaku pada 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata pelajar itu membuat laporan pada 27 Ogos.
“Pada tarikh sama, dua lagi pelajar berusia 13 dan 15 tahun hadir ke Balai Polis Chukai turut membuat aduan mereka dipukul sehingga lebam di badan.
“Semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya menurut Harian Metro.
Hanyan berkata, kejadian buli dan pukul itu berlaku dipercayai akibat perasaan tidak puas hati pelajar senior selepas mangsa dikatakan mengadu kegiatan menghisap vape kepada guru.
“Sehingga 3.30 petang ini, seramai 11 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun yang tinggal di sekitar Bandar Chukai ditahan.
“Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.
Beliau berharap pengurusan sekolah dapat memantau dan mengawasi kejadian seumpama itu supaya tidak lagi berlaku.
“Kita juga berharap pihak sekolah segera melaporkan kepada polis sebaik berlaku sesuatu kejadian buli sebegini,” katanya.