Mayat pemandu e-panggilan ditemukan dalam but kereta

Mayat pemandu e-panggilan ditemukan dalam but kereta

Polis menahan tujuh individu warga Indonesia yang mana empat daripada mereka berkemungkinan positif terbabit dalam kes penemuan mayat mangsa.

Polis berkata mayat ditemui selepas polis menahan sebuah kereta dinaiki warga Indonesia pagi tadi.
PETALING JAYA:
Mayat seorang pemandu e-panggilan ditemui dalam but kereta dengan kaki terikat serta cedera pada muka dan telinga dipercayai dibunuh di Jalan Tugu, Kuala Lumpur, hari ini.

Penemuan mayat mangsa disyaki berusia 50-an susulan polis menahan sebuah kereta Perodua Bezza di bulatan Hishammuddin, berhampiran Bank Negara, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada 6.30 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata sebelum itu MPV polis mengejar kereta berkenaan dan pemandunya memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran bangunan Majlis Perubatan Malaysia, Jalan Tugu.

Beliau berkata, empat penumpang termasuk seorang wanita kemudian melarikan diri ke arah landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Jalan Tugu.

“Polis kemudian membuat pemeriksaan dan menemui mayat lelaki terbabit dengan kakinya terikat kain manakala muka dan telinganya berdarah.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan digunakan untuk khidmat e-panggilan Grab Car dan didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan,” katanya menurut Harian Metro.

Berikutan itu, Azmi berkata, polis menahan tujuh individu warga Indonesia, 4.30 petang hari ini, yang mana empat daripada mereka berkemungkinan positif terbabit dalam kes penemuan mayat mangsa.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.