
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah pembangunan perniagaan di sebuah anak syarikat kerajaan negeri ini kerana dipercayai melantik syarikat milik saudaranya bagi mendapatkan projek perisian bernilai kira-kira RM 1.7 juta.
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor, 2.20 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam pelantikan sebuah syarikat milik saudaranya yang dibuat secara lantikan terus bagi mengendalikan projek tersebut pada Mac 2020.
Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini esok dan dituduh mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.