
Beliau berkata, indeks makanan yang meningkat 6.9% kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi, pada bulan itu.
“Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40% mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada Julai hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan ikan dan makanan laut (4.2%) dan sayur-sayuran (7.1%).
Selain daripada kumpulan makanan, Uzir berkata, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan, kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan sama tahun sebelumnya.
Restoran dan hotel meningkat 5.8% diikuti pengangkutan (5.6%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4%) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.8%).
Sementara itu, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5%, pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.1%) dan pendidikan (1.2%).
Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8%, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4%, berbanding Jun 2022.
Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh restoran dan hotel (0.8%) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.7%). Ini diikuti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6%) dan pengangkutan (0.5%).
Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4% dan 4.2% pada Julai 2022, berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4%.