Dokumen penghakiman Rosmah bocor: Polis rakam percakapan pegawai undang-undang mahkamah

Dokumen penghakiman Rosmah bocor: Polis rakam percakapan pegawai undang-undang mahkamah

Beberapa individu dipanggil polis selepas dipercayai mempunyai akses kepada dokumen yang didakwa bocor itu.

Dokumen didakwa terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes rasuah Rosmah Mansor mula disebarkan portal Malaysia Today, bermula 26 Ogos.
PETALING JAYA:
Beberapa pegawai undang-undang mahkamah dirakam percakapan berhubung kebocoran dokumen berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, berkata mereka yang telah diambil disyaki mempunyai akses kepada dokumen yang dikatakan bocor itu.

“Kita setakat ini telah merakam percakapan beberapa pegawai undang-undang mahkamah yang dipercayai mempunyai akses kepada dokumen yang didakwa bocor itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes tersebut,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Eng Lai dilaporkan berkata, dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan. Kedua-dua akta itu berkaitan kesalahan membocorkan maklumat.

Pada 27 Ogos, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran itu.

Menerusi kenyataan, ia menegaskan perbuatan itu adalah tindakan sengaja dilakukan bertujuan menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) merujuk kepada laporan Portal Malaysia Today bertajuk “Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022 dan Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here” yang disiarkan pada 26 Ogos 2022.

“Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.