2 bulan selepas keputusan SPM diumum, guru pengawas belum terima elaun

2 bulan selepas keputusan SPM diumum, guru pengawas belum terima elaun

Kelewatan pembayaran elaun pengawas dan tuntutan perjalanan itu menyebabkan segelintir guru mungkin enggan lagi bertugas menjaga atau menanda kertas jawapan SPM.

Segelintir guru yang menjadi pengawas peperiksaan SPM kecewa belum mendapat elaun dan tuntutan perjalanan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Segelintir guru pengawas dan petugas menanda kertas jawapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kecewa kerana belum mendapat bayaran penuh elaun, dengan ada yang menimbang tidak mahu meneruskan tugas itu pada masa depan.

Beberapa guru yang enggan dinamakan kerana khuatir berdepan tindakan tatatertib berkata, mereka masih tertanya-tanya bila Kementerian Pendidikan akan membuat pembayaran, sedangkan keputusan peperiksaan itu diumumkan dua bulan lalu.

FMT difahamkan masalah itu turut menimpa pengawas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Kerajaan juga didakwa belum melunaskan elaun pengawas ujian lisan SPM yang diadakan Februari lalu.

Seorang guru yang menjadi pengawas SPM berkata, beliau belum menerima bayaran penuh elaun menjaga peperiksaan dan tuntutan perjalanan, namun difahamkan majoriti rakannya sudah mendapat bayaran penuh.

“Ramai rakan guru sudah terima bayaran, tetapi kami dapat sikit-sikit. Tak tahulah bila hendak dapat bayaran penuh.

“Ada juga rakan jadi ketua pengawas, tetapi dapat bayaran pengawas biasa. Kasihan beliau pikul tanggungjawab besar, akhirnya dapat bayaran pengawas biasa sahaja,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan keluhan beberapa guru pengawas yang menjaga peperiksaan besar belum menerima bayaran dan elaun perjalanan, walhal keputusan SPM diumumkan 16 Jun lalu.

Menurut pekeliling Perbendaharaan, guru boleh membuat tuntutan perjalanan 85 sen/km untuk 500km pertama dan 75 sen bagi km seterusnya.

Bagi elaun menjaga peperiksaan pula, guru dibayar RM225 dan RM300 untuk ketua pengawas, ia kemudiannya ditambah dengan bilangan sesi.

FMT turut berhasil menjejaki seorang guru yang sudah lima tahun menjalankan tugas menanda kertas jawapan SPM yang mendakwa sudah lali dengan masalah kelewatan pembayaran elaun dan tuntutan perjalanan.

“Dalam kes saya, bayaran menanda kertas jawapan sudah diterima, tapi tuntutan perjalanan belum. Setiap tahun pun lambat, tetapi tahun ini paling lambat, tidak tahu kenapa.

“Saya sudah lebih lima tahun menanda kertas jawapan sebab hendak cari pengalaman, tetapi sekarang macam jadi beban pula.

“Dulu boleh tanda kertas jawapan murid dari rumah, sekarang kena ke sekolah. Ini mengganggu emosi sebab menyusahkan,” katanya yang mungkin enggan meneruskan tugas itu tahun depan.

FMT cuba mendapatkan maklum balas Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berhubung isu itu, namun belum berhasil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.