Teguran ‘orang dia’, Azalina tambah baik pentadbiran PM, kata pemimpin Umno

Teguran ‘orang dia’, Azalina tambah baik pentadbiran PM, kata pemimpin Umno

Ketua Umno Perlis Azlan Man berpendapat ucapan Ahli Parlimen Pengerang itu bukan kritikan sebaliknya pandangan peribadi sebagai pengamal undang-undang untuk menambah baik pentadbiran kerajaan.

Azalina Othman Said ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno semalam menegur perdana menteri atas pelantikan peguam negara.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mendakwa teguran “orang dia” oleh penasihat khas kepada perdana menteri Azalina Othman Said, yang merujuk kepada lantikan peguam negara bertujuan menambah baik pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Umno Perlis, Azlan Man, berpendapat ucapan Ahli Parlimen Pengerang itu semalam bukan kritikan sebaliknya pandangan peribadi sebagai pengamal undang-undang untuk menambah baik pentadbiran kerajaan.

“Saya rasa itu bukanlah kritikan tetapi lebih kepada pandangannya sebagai seorang yang arif dalam bidang perundangan.

“Yang Berhormat Pengerang mempunyai pandangannya untuk menambah baik pentadbiran dan mungkin beliau melihat daripada aspek itu untuk menambah baik pentadbiran perdana menteri,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Azalina yang juga bekas menteri di era pentadbiran Barisan Nasional ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno menegur Ismail atas pelantikan peguam negara.

Azalina berkata, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.

“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” katanya.

Idrus Harun dilantik peguam negara selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.