
Pada satu sidang media hari ini, Presiden Penajanya, Kamarazaman berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana kedua-dua parti itu mempunyai asas perjuangan yang sama.
Bagaimanapun katanya, Parti Kuasa Rakyat belum dibubarkan dan perkara itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat agung tahunan PBM pada 1 Okt depan.
Beliau turut mencadangkan supaya dua parti berkenaan menggunakan nama baharu iaitu “Parti Kuasa Rakyat Bangsa Malaysia”.
“Parti Kuasa Rakyat adalah mesra BN (Barisan Nasional) dan kerajaan campuran hari ini, kita lihat PBM mempunyai asas yang sama (dengan Parti Kuasa Rakyat), atas persamaan ini, kepimpinan Parti Kuasa Rakyat memilih untuk bersama (PBM).
“Dengan menggabungkan tenaga-tenaga Ahli Parlimen sedia ada dalam PBM dan yang telah bersedia untuk bersama PBM juga, ini merupakan satu kekuatan baru dan mungkin dilihat sebagai kuasa besar dalam politik nasional,” katanya.
Sementara itu, Presiden PBM, Larry Sng berkata, beliau gembira dengan perkara itu yang menjadi satu lagi perkembangan baharu dalam politik.
“Perbincangan berkaitan perkongsian kuasa dengan Parti Kuasa Rakyat akan dibuat pada mesyuarat agung tahunan pada Okt nanti. Ketika itu, kita akan buat keputusan serta meminda beberapa perlembagaan termasuk memberi autonomi sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media sama.
Dalam pada itu, Sng berkata, PBM juga telah memutuskan akan mempertahankan kesemua kerusi yang disandang wakil rakyat mereka sama ada bagi kerusi Parlimen atau DUN.
Beliau berkata, jumlah ahli parlimen PBM juga mungkin bertambah dengan kemasukan beberapa lagi yang akan diumumkan pada 30 Ogos depan di Kuala Lumpur.
“Setakat ini kita ada (Ahli Parlimen) Ampang, Tebrau, Julau dan yang terbaharu, Lahad Datu tapi mungkin akan ada dua tiga lagi yang kita akan umumkan pada 30 Ogos nanti,” katanya.