Seleweng minyak pelincir, eksekutif petroleum, 2 rakan didakwa

Seleweng minyak pelincir, eksekutif petroleum, 2 rakan didakwa

Ketiga-tiga tertuduh Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, dan Mohd Zakry Abu Bakar mengaku tidak bersalah.

Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, Mohammad Safiy Khan Muzair Khan dan Mohd Zakry Abu Bakar didakwa menyeleweng minyak pelincir kenderaan, dua tahun lalu. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Seorang bekas eksekutif inventori kanan sebuah syarikat petroleum terkenal serta dua rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan penyelewengan minyak pelincir kenderaan, dua tahun lalu.

Tertuduh Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40, serta dua rakannya Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33, dan Mohd. Zakry Abu Bakar, 38, membuat pengakuan itu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.

Sheikh Izzuddin yang bertugas sebagai senior eksekutif inventori (ketika kejadian) diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu minyak pelincir 24,461.43kg, bernilai RM113,000.

Tertuduh bagaimanapun didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.

Perbuatan itu dilakukan antara 20 September 2020, 9 pagi hingga 1 Nov 2020, 11.16 pagi di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn. Bhd. (MLBP) Sungai Udang, Melaka.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohammad Safiy yang bekerja sebagai kontraktor dan Mohd. Zakry anggota polis bantuan masing-masing didakwa bersubahat membantu Sheikh Izzudin untuk melakukan pecah amanah terhadap minyak pelincir berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap Sheikh Izzudin dan Safiy, manakala Zakry, RM15,000.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, Fahmy Sulaiman, Faiezad Razali dan Melvin Tay Yee Shian bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan mereka perlu menanggung ahli keluarga.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Sheikh Izzuddin dan Safiy diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap orang, manakala Zakry sebanyak RM7,000.

Kedua-dua hakim kemudian menetapkan 26 September ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.