
Beliau berkata, keputusan itu adalah untuk membantu pihak industri yang sebelum ini menggesa kementerian supaya menangguhkan pelaksanaan sehingga ekonomi pulih.
“Selepas melakukan perbincangan dengan Kabinet hari ini, kami bersetuju untuk menangguhkannya selama empat bulan.” katanya pada sidang media.
Tambahnya, pindaan itu akan dilaksanakan pada Januari tanpa mengira sebarang alasan diberikan majikan, dengan memberi masa bagi menangani masalah kekurangan pekerja di negara.
Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, pindaan kepada Akta Kerja 1955 mengenai pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, akan berkuatkuasa pada 1 September.
Pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.
Menurut Saravanan juga, pengurangan waktu kerja juga sewajarnya tidak mengecualikan pekerja asing.
“Apabila bercakap mengenai pekerja, kami tidak boleh mendiskriminasi antara pekerja tempatan ataupun pekerja asing.
“Kami akan mencuba sedaya yang mungkin untuk keluar dari kedudukan Tahap 3 dalam laporan tahunan pemerdagangan manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat, serta mengelakkan kerja secara paksaan.” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata, pihaknya sedang mengkaji cadangan mengubah istilah pekerja asing kepada istilah lain yang lebih sesuai bagi mengatasi isu diskriminasi terhadap golongan itu.
“Perkataan asing dilihat sukar untuk diterima, jadi kita sedang teliti istilah lain. Antaranya mungkin sebut pekerja luar negara, pekerja migran dan sebagainya,” katanya.