
Zuraida yang juga presiden menanti sebelum itu berkata, keputusan tersebut dibuat kerana PBM telah membuat permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
“Ya (tetap bertanding di Julau), tidak ada berubah. Saya adalah presiden parti, bagaimana saya tak tahu di mana saya bertanding atau tidak bertanding, itu tak elok.
“Apa yang sudah diputuskan dari parti adalah, parti akan bertanding di semua kerusi ada wakil rakyat PBM,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Sng berkata, tidak timbul soal pencalonan di mana-mana kawasan kerana BN belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan mereka.
“Sekarang kita belum sampai sana, dan tak semestinya ia akan berlaku sebelum PRU15, kalau BN belum buat apa-apa keputusan, saya rasa soalan ini tak payah dijawab,” katanya.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang sebelum itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Sng pada PRU15.
Sng memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14.
Beliau menewaskan penyandang kerusi itu Joseph Salang Gandum dengan majoriti 1,931 undi.
Sejurus memenangi kerusi itu, beliau menyertai PKR pada 2018 dan dilantik sebagai ketua PKR negeri pada 2020.
Beliau kemudiannya meletak jawatan dan keluar PKR pada 28 Feb 2021 dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Sng kemudiannya menyertai PBM dan dilantik sebagai presiden pada Januari lalu.