Ditipu sindiket jual kereta potong, pengamal perubatan rugi RM1.3 juta

Ditipu sindiket jual kereta potong, pengamal perubatan rugi RM1.3 juta

Mangsa terpengaruh dengan iklan ditawarkan menerusi Facebook kononnya menjual kereta potong dari Singapura.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa kerugian RM1.3 juta selepas dipercayai tertarik dengan iklan dipaparkan sindiket menerusi laman sosial Facebook. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengamal perubatan di Johor berusia 34 tahun berputih mata selepas kerugian RM1.3 juta akibat ditipu sindiket menawarkan penjualan kereta potong dari Singapura.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa dipercayai tertarik dengan iklan dipaparkan sindiket menerusi laman sosial Facebook, bulan lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya menekan pautan iklan terbabit sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa dipercayai mahu memulakan perniagaan menjual alat ganti kenderaan, menyebabkan dia mahu membeli kereta ‘scrapped’ dari Singapura.

“Lelaki itu tidak pernah berjumpa dengan penjual secara fizikal, hanya berhubung menerusi dalam talian,” katanya menurut Harian Metro.

Jelasnya lagi, mangsa mula melakukan beberapa transaksi dengan memindahkan wang sejumlah RM1.3 juta ke akaun yang disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

Katanya, mangsa mula menyedari dia ditipu apabila gagal menghubungi suspek, sebelum bertindak membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberitahu, terdapat kes berasingan membabitkan seorang mekanik yang kerugian kira-kira RM240,000 apabila terpedaya dengan sindiket tiket loteri.

Beliau berkata, mangsa tertarik dengan janji sindiket yang menawarkan pulangan hadiah hampir RM500,000.

“Mangsa berusia 55 tahun dan dia dikatakan didatangi seorang lelaki pada Mei lalu yang mana lelaki itu menawarkan tiket loteri toto kononnya mangsa memenangi hadiah RM500,000.

“Jadi katanya, bagi mendapatkan hadiah itu, suspek memberitahu mangsa dia perlu membayar duit pendahuluan. Maka, mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank membabitkan wang RM240,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.