Sarjan tak mengaku salah minta, terima rasuah

Sarjan tak mengaku salah minta, terima rasuah

Anggota polis itu meminta suapan sebagai dorongan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap dua individu yang sedang disiasat.

Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah meminta dan menerima suapan di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. (Gambar Reuters)
BUTTERWORTH:
Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM4,300, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Azlan Mohd Nor, 36, didakwa meminta suapan daripada Syed Shukrie Syed Radzi dan Shahrul Nizam Abu Bakar, masing-masing sebanyak RM1,500 sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka yang sedang disiasat.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada 5.40 petang, 15 Jul 2021.

Kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Azlan didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan wang tunai RM1,300 daripada Syed Shukrie di IPD Seberang Perai Tengah pada 6.25 petang, 8 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Semua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi, melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM dan menetapkan 26 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Chandra Segaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.