
Setiausaha Agung Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA), Eddie Tuan, berkata tujuan Sukma diadakan untuk mencungkil bakat dan atlet terbaik bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa, tetapi TM tidak membenarkan atlet dari persatuan taekwondo berbeza aliran mengambil bahagian.
Menurutnya, hanya atlet TM boleh mengambil bahagian dalam Sukma dan mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa, sedangkan mereka sebenarnya cuma dilantik sebagai pengelola teknikal taekwondo oleh Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukma.
“Apakah tujuan Sukma diadakan? Sukan ini harus terbuka kepada semua dan biarlah atlet terbaik menang,” katanya ketika dihubungi FMT sambil menambah banyak syarat dikenakan terhadap atlet persatuan lain untuk mengambil bahagian.
Beliau berkata, TM menganggap Sukma ialah salah satu kejohanannya dan hanya atlet berdaftar dengan TM boleh menyertainya.
“Ini bukan kejohanan TM. Kenapa mereka selalu memetik perlembagaan TM untuk mengendalikan taekwondo di Sukma. Sukma adalah program Majlis Sukan Negara.”
Sukma 2022 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur mulai 16 hingga 24 Sept ini, menyenaraikan 31 acara, antaranya wushu, karate, judo, Muay Thai, pencak silat dan tinju, manakala taekwondo dan sukan terjun wanita yang menjadi acara Olimpik tidak dipertandingkan.
Tuan mendakwa TM yang ditubuhkan pada 2010 merampas hak badan induk daripada MTA.
“Pada masa kami menjadi badan induk, rekod cemerlang kami adalah 10 pingat emas dari Sukan SEA dan setiap Olimpik kami mempunyai atlet yang bertanding di temasya sukan terbesar ini.
“Sejak TM ambil alih sebagai badan induk, pencapaian di Sukan SEA teruk dan tidak ada atlet negara ke Olimpik. Memanipulasi sukan itu dan tidak membenarkan atlet dari luar TM untuk mengambil bahagian,” dakwanya.
MTA ditubuhkan pada 1972 dan akan menyambut ulang tahun ke-50 pada akhir tahun ini.
Tuan juga bersetuju dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa terlalu ramai orang politik dalam sukan Malaysia.
Beliau mempersoalkan mengapa perlu melantik individu bukan atlet atau tiada kaitan dengan sukan untuk menerajui persatuan sukan.