
Colin Nicholas, penyelaras Center for Orang Asli Concerns (COAC) menggesa supaya dasar-dasar ini dirombak, dengan mendakwa statistik rasmi menunjukkan kadar kemiskinan dalam kalangan Orang Asli adalah 89% pada 2020, dengan 99.25% dalam kategori B40.
“Selepas 40 hingga 50 tahun projek pembangunan dan program untuk Orang Asli, mereka ini masih dalam kemiskinan,” katanya kepada FMT.
“Program-program ini sebenarnya menyebabkan mereka terus miskin, kerana manfaat daripada hasil projek berkenaan diraih golongan selain Orang Asli.”
Nicholas turut mengkritik dasar tanah melibatkan Orang Asli, dan merujuk kenyataan awal bulan ini oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju, bahawa 2.4ha kawasan hutan akan diberikan kepada setiap keluarga Orang Asli bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Bagaimanapun, Nicholas menyifatkan Ali jahil jika percaya bahawa pemberian 2.4ha bagi setiap isi rumah mampu mengangkat Orang Asli keluar dari kemiskinan.
Katanya, dasar itu mempunyai beberapa kekurangan.
Tidak semua keluarga akan diberikan 2.4ha kerana skim itu bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa negeri. Nicholas mendakwa ada isi rumah diberi jumlah tanah jauh lebih kecil.
Ada juga kes yang melihat Orang Asli tidak dibenarkan mengusahakan tanah itu sendiri, sebaliknya diberikan dividen daripada hasil diperoleh di tanah berkenaan.
Nicholas berkata, adalah lazim untuk keluarga Orang Asli hanya menerima RM200 hingga RM800 sebulan daripada dividen itu, malah ada yang langsung tidak mendapat apa-apa.
Beliau menggesa pendekatan lebih pelbagai oleh kerajaan, dan bukan sekadar memfokuskan pembangunan pertanian seperti dilakukan kini. Sebaliknya beliau menganggap penekanan turut perlu diberikan terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan sosiobudaya masyarakat itu.
Pada 2009, Majlis Tanah Negara dipengerusikan timbalan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, meluluskan dasar untuk memberikan tanah kepada Orang Asli bagi tujuan pertanian dan perumahan.
Di bawah skim itu, kira-kira 30,000 isi rumah Orang Asli sepatutnya menerima geran tetap untuk lot pertanian berukuran dari 0.8ha hingga 2.4ha. Tanah itu tidak boleh digadai janji, disewa atau dipajak tanpa kebenaran pihak berkuasa, selain juga tidak boleh dipindah milik untuk tempoh 15 tahun pertama.
Peguam dan aktivis, Siti Kasim berkata masalah untuk Orang Asli pada dasarnya disebabkan mereka tiada geran yang boleh didaftarkan untuk tanah adat mereka.
Menurutnya, mereka boleh diusir dari tanah sendiri sekiranya pihak berkuasa mempunyai perancangan lain untuk tanah berkenaan, manakala Orang Asli juga tidak boleh mendapatkan bantuan kerajaan untuk membangunankan tanah itu ketika mereka tinggal di situ.
“Ketiadaan hak milik tanah menghalang Orang Asli daripada menggunakan tanah mereka sebagai modal,” kata Siti.
“Tanpa modal, Orang Asli tidak boleh memulakan sebarang usaha atau perniagaan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.”