Sektor E&E Malaysia alami tekanan berbilion ringgit susulan krisis buruh

Sektor E&E Malaysia alami tekanan berbilion ringgit susulan krisis buruh

Situasi bertambah buruk apabila pembuat mikrocip terpaksa menolak tempahan susulan kekurangan tenaga kerja.

Malaysia mengeluarkan produk elektrikal dan elektronik untuk industri seperti pembuatan barangan elektrik, peranti digital dan automobil.
PETALING JAYA:
Apabila eksekutif kewangan Liew (bukan nama sebenar) diminta ‘membantu’ di bahagian kilang, beliau beranggapan ia satu permintaan pelik dan mungkin untuk sekali sahaja. Kini, ia menjadi normal.

Seperti syarikat multinasional (MNC) lain di Malaysia, pengeluaran dan jualan di syarikat Liew terjejas teruk akibat masalah buruh yang memaksa pengurusan bergantung kepada eksekutif seperti Liew.

“Sudah menjadi perkara biasa untuk saya dipanggil, menyinsing lengan baju dan menyusun bahagian berbeza dikeluarkan robot di kilang bila-bila masa sahaja apabila pengeluaran diperlukan. Ini juga berlaku pada hujung minggu,” katanya kepada FMT.

Pengurusan kanan juga tidak terkecuali, rakan sekerja Liew yang merupakan seorang pengurus besar jualan melakukan kerja membungkus produk dalam kotak untuk diedarkan.

Namun menyerahkan tugas pengeluaran kepada eksekutif tanpa perancangan itu bukan langkah baik. Sekiranya penyelesaian mampan tidak dirangka, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor dan litar bersepadu keenam terbesar dunia pada 2021 boleh merundum.

Kekurangan buruh juga boleh menghentikan momentum eksport elektrik dan elektronik (E&E), yang meningkat 18% daripada RM386 bilion pada 2020 kepada RM456 bilion pada 2021. Ia menjana 56% daripada lebihan perdagangan Malaysia pada 2021 dan menyumbang 6.3% daripada jumlah keseluruhan bagi eksport sektor E&E 2021 di seluruh dunia.

Disebabkan masalah buruh, pengilang beroperasi di bawah kapasiti di saat permintaan global meningkat dan kekurangan cip, Keadaan itu menyebabkan keuntungan tidak dapat dicapai, menurut penganalisis dan wakil persatuan perniagaan.

“Walaupun prestasi eksport negara yang cemerlang menunjukkan kekurangan tenaga kerja tidak memberi kesan ke atas pengeluaran, dampak lebih teruk mungkin dirasai apabila negara kehilangan peluang meningkatkan kapasiti bagi memenuhi pesanan antarabangsa yang semakin meningkat,” kata penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng.

Sumber industri juga memberitahu FMT, pembuat cip juga menolak tempahan susulan kekurangan tenaga kerja yang sebahagiannya besarnya disebabkan pembekuan pengambilan pekerja asing.

Kebimbangan kapasiti berkaitan buruh juga boleh mengetepikan Malaysia daripada rantaian bekalan global.

“Terpaksa beroperasi di bawah kapasiti mengakibatkan kelewatan dalam penghantaran barang dan tunggakan yang besar, selain penalti ke atas pengilang.

“Kesannya lebih teruk jika pelanggan sedia ada yang mengambil kira permintaan semakin meningkat, memutuskan mencari sumber alternatif di negara lain, sekali gus mengeluarkan Malaysia dari rantaian bekalan mereka,” Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai, memberi amaran.

Meskipun kerajaan menarik balik pembekuan permohonan pengambilan pekerja asing bermula 19 Ogos, namun bagi menunggu ketibaan pekerja asing berkenaan pastinya mengambil masa.

Dibimbangi jika masalah bekalan buruh itu berlarutan, ia boleh menghalang kemasukan pelaburan baharu bagi sektor E&E dan menekan pelabur sedia ada untuk keluar selain menjejaskan usaha menarik pelaburan dan kemampanan ekonomi Malaysia.

“Kekurangan buruh boleh menghalang kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) utama bagi rantaian bekalan global semikonduktor dalam Asean, menyebabkan Malaysia ketinggalan kepada negara Asean lain,” kata bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan Ramon Navaratnam.

Memandangkan semikonduktor juga terdapat di tempat lain dan mempunyai aplikasi pelbagai, persoalan berhubung kekurangan juga buruh boleh menimbulkan risiko inflasi.

Isu tenaga manusia boleh meningkatkan kos produk seperti barangan elektronik, peranti digital dan automobil, yang mempercepatkan inflasi serta memberi kesan kepada perniagaan perantaraan dan pengguna akhir.

Mempercepat permohonan pekerja asing

Sektor E&E di Malaysia dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera. Lebih ramai diperlukan jika syarikat ingin mengembangkan operasi kilang atau mewujudkan premis baharu.

Enam daripada 12 syarikat semi konduktor terbesar di dunia bertapak di industri E&E Malaysia. Selain itu, tiga daripada sembilan syarikat diod pemancar cahaya (LED) terbesar. Kesukaran sumber termasuk buruh akan bertambah sukar apabila ada pelaburan baharu serta pemain sedia ada mengembangkan operasi bagi menampung permintaan tempahan cip di pasaran antarabangsa.

2021 adalah tahun memberangsangkan untuk FDI, sektor E&E merekodkan 94 projek diluluskan bernilai RM148 bilion yang mewujudkan 28,362 peluang pekerjaan. Persoalannya: bagaimana Malaysia menyediakan tenaga kerja dan menyokong kesinambungan perniagaan sektor ini?

Penyelesaian segera terbaik adalah untuk kerajaan mempercepatkan kelulusan permohonan pekerja asing melalui mekanisme telus, boleh diramal dan berkesan.

“Sebaik-baiknya, keseluruhan proses permohonan pekerja asing harus dikendalikan secara dalam talian dengan campur tangan yang minimum dan tiada penglibatan ejen atau pihak ketiga,” kata Soh dari FMM.

Berdasarkan maklum balas industri yang mendapati berlaku ‘kesesakan’ di proses temu duga di peringkat persekutuan, FMM mengesyorkan proses itu dipusatkan di setiap negeri untuk mengendalikan jumlah temuduga serta tunggakan permohonan yang besar.

Jika kerajaan tidak mengambil langkah menyokong kesinambungan perniagaan MNC, hasrat Malaysia menjadi hab sektor E&E di peringkat global dan pada masa sama menjaga kesejahteraan bakat seperti Liew pasti dalam bahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.