
Antara pemimpin difahamkan mengadakan pertemuan dengan Ismail ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Khaled Nordin, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Zambry Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak dikatakan tidak menghadiri pertemuan bersama Ismail di kediamannya dan difahamkan berada di Menara Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Menurut sumber, pertemuan itu dibuat selepas pemimpin Umno mengadakan mesyuarat tergempar dengan ketua bahagian Umno yang difahamkan dihadiri hampir 80 orang secara bersemuka.
Terdahulu, selepas mesyuarat membabitkan ketua bahagian Umno itu petang tadi, Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos mendakwa seramai 158 ketua bahagian yang menyertai mesyuarat tergempar mendesak pilihan raya umum diadakan “dengan kadar paling segera”.
Katanya, suara itu akan disampaikan kepada perdana menteri oleh Zahid dalam mesyuarat tertinggi parti dalam masa terdekat.
“Keputusan kita dapat, mahukan pilihan raya diadakan kadar paling segera,” katanya kepada media selepas hadir mesyuarat ketua bahagian Umno di Menara Dato Onn.
Difahamkan, mesyuarat dipengerusikan oleh Zahid itu tidak dihadiri Ismail dan Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid.