Hina Mahkamah Syariah, Maria Chin dibenar cabar perintah tunjuk sebab

Hina Mahkamah Syariah, Maria Chin dibenar cabar perintah tunjuk sebab

Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berhubung kenyataan dibuatnya mengenai hukuman penjara terhadap bekas isteri ahli perniagaan.

Maria Chin Abdullah mendakwa arahan itu dibuat dengan niat jahat.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah memulakan cabaran undang-undang berhubung perintah tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Syariah berhubung kenyataannya yang “menghina” sistem kehakiman Islam.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memberi kebenaran kepada Maria untuk memulakan semakan kehakiman pada prosiding dalam talian hari ini.

“Dia telah datang ke mahkamah, mengadu bahawa haknya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjadi taruhan kerana prosedur menghina mahkamah di bawah Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) adalah bercanggah dengan perlembagaan.

“Tidak kira sama ada dia Ahli Parlimen atau penjaja, mahkamah tidak akan berdiam diri.

“Dia telah mengemukakan bahan yang cukup dalam menghujahkan bahawa prosiding menghina mahkamah boleh dicemari oleh ketidakwajaran prosedur,” kata hakim.

Dalam usahanya untuk memulakan semakan kehakiman, beliau mahu Mahkamah Tinggi membatalkan perintah Mahkamah Syariah pada 14 Okt 2019 yang membenarkan ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin memulakan prosiding menghina mahkamah terhadapnya.

Beliau mendakwa arahan itu dibuat dengan niat jahat.

Pada 5 Sept 2019, Maria mengeluarkan kenyataan media bahawa “wanita Islam masih didiskriminasi bawah sistem perundangan syariah Malaysia”.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada bekas isteri Faisal, Emilia Hanafi kerana menjadualkan semula tarikh melawat anak-anaknya adalah suatu “ketidakadilan yang berat” dan “penghinaan sepenuhnya terhadap sistem kehakiman”.

Emilia selesai menjalani hukuman penjara tujuh hari itu pada Jun.

Mahkamah Tinggi Syariah turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Maria kerana menghina mahkamah pada 25 April lalu.

Maria diwakili peguam Rosli Dahlan, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulfah Hassan @ Zulkifli, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Liyana Fuad mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.