
Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga berpendapat perlunya wujud undang-undang berasingan untuk produk vape, bukannya dimasukkan sekali bersama GEG.
Pelan GEG di bawah RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, bertujuan melarang penggunaan, penjualan dan pemilikan rokok serta produk vape kepada golongan yang lahir selepas 2007. Bagaimanapun, selepas pelbagai pertikaian dibangkitkan mengenai RUU itu, kerajaan memutuskan untuk merujuknya kepada jawatankuasa berkenaan.
Sharifa berkata, wujud kebimbangan bahawa RUU GEG dalam keadaan sedia ada mungkin membawa kepada percambahan rokok haram dan produk vape, selain keciciran dalam strategi THR.
“Pengurangan kemudaratan tembakau mungkin memainkan peranan penting dalam membantu perokok tegar beralih (kepada alternatif kurang berbahaya) seterusnya mengurangkan mudarat secara keseluruhan. Ini sedang dilakukan di beberapa negara maju termasuk UK, AS, Jepun, New Zealand dan Australia,” katanya kepada FMT.
Tegasnya, tindakan itu memerlukan pemantauan dan peraturan sewajarnya.
Katanya, perundangan berasingan diperlukan untuk produk vape, yang diperbuat daripada pelbagai bahan kimia berbeza kerana ini dianggap kurang berbahaya sekiranya dikawal selia dengan betul.
“Ia kaedah membantu peralihan kepada produk yang kurang berbahaya dan akhirnya menjadi cara membantu menghentikan amalan merokok dalam kalangan perokok tegar. Ia bukan untuk mereka yang bukan perokok mahupun golongan bawah usia 18 tahun.
“Antara lain, kandungan dan tahap nikotin di dalamnya perlu dilabel dengan betul, selain memerlukan kawalan kualiti bagi e-cecair, sistem peranti tertutup bagi menghalang pengubahsuaian e-cecair, selain berpotensi untuk dikenakan cukai,” katanya.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow berkata, jawatankuasa pilihan khas berkenaan patut mengambil peluang ini untuk menilai semula bukti berkaitan THR.
Beliau berkata, strategi THR termasuk penggunaan vape sebagai alat membantu seseorang berhenti merokok juga perlu diteliti.
Katanya, jika perlu, jawatankuasa itu boleh mencadangkan supaya penggunaan vape dikawal selia secara berasingan.
“GEG merangkumkan rokok dan produk vape bersama, dan tidak memberi ruang untuk pendekatan pengurusan mikro berbeza seperti bagi ketagihan lain. Adakah kita menggunakan pendekatan sama untuk ketagihan heroin dan merokok? Tidak,” katanya kepada FMT.
“Kami menggesa semua pembuat dasar, pengawal atur, pengamal penjagaan kesihatan, dan semua NGO yang relevan supaya memeriksa setiap sudut isu ini, mempertimbangkan segala pro dan kontra, risiko dan manfaat, serta menggalakkan debat sihat berhubung GEG.”
Azrul Mohd Khalib dari Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 bukan setakat melibatkan isu GEG, sebaliknya juga mengenai mengawal selia tembakau dan produk vape.
Katanya, buat masa ini ada dalam kalangan pelajar sekolah juga mula menggunakan vape, dan selagi ia tidak dikekang serta dikawal selia, ini mampu mengakibatkan ketagihan nikotin dari usia muda.
Azrul berkata, keadaan di Malaysia berbeza dari New Zealand dan UK yang telah pun mempunyai undang-undang kawalan tembakau sebelum produk vape diperkenalkan.

“Malaysia tiada RUU kawalan tembakau setara, seterusnya inilah peluang untuk memperkemas dan menyelaraskan peraturan berkaitan tembakau dan vape secara serentak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Nanostix Innovation Sdn Bhd Shahabudeen Jalil mengalu-alukan perancangan mewujudkan RUU GEG untuk mengekang tabiat merokok dalam generasi akan datang. Bagaimanapun, katanya, peraturan berbeza diperlukan untuk rokok dan produk vape.
“Rokok dan vape adalah dua produk yang amat berbeza, jadi tidak wajar kedua-duanya dikendalikan dengan cara sama,” katanya.