
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka dengan segera oleh Bahagian Integriti Jabatan Imigresen.
Dzaimee berkata, walaupun daripada siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur provokasi daripada orang awam berkenaan, namun begitu, tindakan yang diambil oleh pegawai imigresen yang terlibat dalam insiden berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu “integriti, profesional, mesra”.
“Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang pegawai imigresen yang merupakan penjawat awam.
“Pegawai-pegawai Imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap professional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi,”katanya dalam kenyataan.
Katanya, Jabatan Imigresen tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan imej dan kredibiliti jabatan.
Khairul turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan lelaki itu yang dikatakan provokatif apabila jabatan itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka, seperti permohonan dalam talian dan lanjutan waktu operasi.
Awal hari ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda di Shah Alam selepas dia diherdik oleh pegawai imigresen di UTC Selangor pada 10 Ogos lalu.
Dia dilaporkan berada di sana bersama anaknya dan telah menunggu empat jam untuk nombornya dipanggil oleh kaunter, kerana sistem itu menghadapi beberapa masalah.