Nahas di tapak ECRL, lelaki maut kepala digilis lori sendiri

Nahas di tapak ECRL, lelaki maut kepala digilis lori sendiri

Mangsa berusia 37 tahun itu tercampak keluar selepas lori dipandunya terjunam lalu kenderaan berat itu menggilis kepalanya.

Lori dipandu mangsa hilang kawalan ketika menuruni bukit di tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berketinggian tiga meter. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut apabila lori dipandu menggilis kepalanya selepas tercampak dari cermin hadapan sejurus kenderaan berat itu terjunam di curam, dalam nahas di kawasan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Merchang, Marang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, mangsa, Nasaruddin Nasir, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan.

Lapor Berita Harian, kejadian dipercayai berlaku ketika lori dipandu mangsa menuruni bukit di tapak pembinaan dan menghala ke bengkel lori.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, lori dipandunya hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terjunam di curam yang berketinggian kira-kira tiga meter.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak keluar daripada cermin hadapan sebelum kepalanya digilis.

Sementara itu, Ketua Polis Marang Mohd Zain Mat Dris, mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.