Kolam di puncak Gunung Inas akan dimusnah, kata Azeez

Kolam di puncak Gunung Inas akan dimusnah, kata Azeez

Ahli Parlimen Baling berkata tiga kolam dibina syarikat ladang Musang King boleh mengancam keselamatan penduduk sekiranya aliran air dilepaskan begitu sahaja ke sungai berdekatan.

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi lain sedang mengenal pasti kaedah terbaik memusnahkan tiga kolam takungan itu.
PETALING JAYA:
Tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak Gunung Inas akan dimusnahkan susulan mampu mengundang bahaya kepada penduduk setempat, kata Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim.

Katanya, permintaan itu sudah dirujuk kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera.

Beliau berkata, keputusan sudah dibuat bahawa tiga kolam yang dibina syarikat ladang durian Musang King terbabit perlu dirobohkan demi memastikan keselamatan penduduk.

“Cuma keadaannya ketika ini, kita perlu mencari kaedah bagaimana kolam terbabit dapat diroboh dan dimusnah tanpa menyebabkan masalah lain kepada penduduk di sekitar Kampung Iboi.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan tanpa kajian terperinci kerana bimbang air kolam boleh mengakibatkan kepala air berlaku lagi jika alirannya dilepaskan ke Sungai Kupang begitu sahaja.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi lain sudah meninjau keadaan kawasan terbabit dan keputusan mengenai kaedah terbaik memusnahkan kolam akan dibuat mereka,” lapor Berita Harian.

Laporan itu turut menyebut, kewujudan kolam dan tandak air di sekitar Gunung Inas yang berisiko pecah pada bila-bila masa sekiranya berlaku hujan lebat di puncak gunung berkenaan.

Mengulas lanjut, Azeez berkata, beliau tidak pernah menuding jari kepada mana-mana pihak yang dikatakan menjadi punca kejadian bencana banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi bulan lalu.

Katanya, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha memulihkan infrastruktur yang rosak dan membantu penduduk yang terjejas akibat bencana yang berlaku.

“Cuma kita masih bimbang keadaan di Kampung Iboi masih umpama bom jangka kerana cuaca hujan berlaku agak kerap dan penduduk akan lari ke masjid berikutan masih dalam kebimbangan,” katanya.

Dalam kejadian bencana pada 4 Jul, seramai tiga nyawa penduduk terkorban dan lebih 1,000 rumah terjejas akibat banjir lumpur dan aliran puing yang turut meranapkan 18 rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.