
“Ia perlu dibuat kerajaan, bukan saya (untuk mencadangkan pindaan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan),” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di Putrajaya.
Idrus berkata, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, masih boleh memohon kerakyatan walaupun mereka tidak akan mendapatnya secara automatik mengikut undang-undang.
“Bagaimanapun, proses untuk mendapat kerakyatan ini akan mengambil masa. Namun ingin saya tekankan bahawa walaupun kanak-kanak ini tidak boleh mendapat kerakyatan secara automatik, tapi masih boleh mendapatkannya dengan membuat permohonan (dengan Kementerian Dalam Negeri),” katanya.
Selain itu, Idrus berkata, beliau juga pernah ditanya mengenai dasar berkait kerakyatan yang diguna pakai negara serantau seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Di Singapura, seseorang boleh memiliki dua kewarganegaraan sehingga usia mencecah 21 tahun. Namun Malaysia tidak iktiraf dua warganegara.
“Bagi Indonesia pula, kedua-dua ibu dan bapa perlu menjadi warganegara sekiranya anak mereka yang lahir di luar negara mahu memiliki kerakyatan Indonesia, manakala di Brunei dasar yang digunakan sama seperti Malaysia,” katanya.
Pada 5 Ogos, dalam keputusan berbelah bahagi, Mahkamah Rayuan memutuskan anak yang dilahirkan ibu rakyat Malaysia boleh dinafikan kerakyatan berdasarkan kuat kuasa undang-undang.
Pengerusi panel itu, Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi menjadi majoriti bersetuju, manakala S Nantha Balan membantah.
Majoriti berkata, istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan bermakna bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa.
Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikuti prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu, berkata ia terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.