APMM gagalkan cubaan seludup 8,000 liter petrol ke negara jiran

APMM gagalkan cubaan seludup 8,000 liter petrol ke negara jiran

Selain merampas minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM 286,400 itu, APMM turut menahan empat individu, termasuk seorang warga Filipina, dalam serbuannya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung sebarang perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu ke APMM Zon Maritim Lahad Datu atau MERS 999. (Gambar Facebook Jabatan Penerangan Sabah)
PETALING JAYA:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol ke negara jiran dalam serbuan di jeti pangkalan nelayan Silam Kem di Lahad Datu, Sabah, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, dalam serbuan pada kira-kira 3.30 pagi semalam itu, yang dibuat berdasarkan maklumat orang awam, empat lelaki berusia 20 hingga 70 tahun – seorang daripadanya warga Filipina – turut ditahan

“Ketika serbuan, semua suspek sedang melakukan kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya hari ini, lapor Bernama.

Nik Mohd Rizam berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol.

Bot kargo itu dan lori bersama 40 tong drum mengandungi 8,000 liter minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM 286,400 dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nik Mohd Rizam turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.