Timbalan menteri tiada kuasa senarai hitam pemilik kelab komedi, kata Ahli Parlimen

Timbalan menteri tiada kuasa senarai hitam pemilik kelab komedi, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias memberi penjelasan mengenai peruntukan mana yang memberi kuasa kepadanya mengenakan hukuman itu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membatalkan lesen Crackhouse Comedy Club, berkuat kuasa 30 Jul.
PETALING JAYA:
Adakah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias bertindak atas kehendaknya sendiri apabila mengumumkan pemilik kelab komedi disenarai hitam daripada mendaftarkan perniagaan di Kuala Lumpur selama-lamanya?

Itu persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengenai kenyataan timbalan menteri itu kepada pemberita, pada Rabu.

Beliau menggesa Jalaluddin memberi penjelasan berhubung pengumuman itu, sambil menyatakan Kuala Lumpur adalah bandar raya yang berada di bawah syor jawatankuasa pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Adakah timbalan menteri sedar yang dia tiada kuasa untuk membuat larangan peribadi terhadap Rizal?” soal Lim dalam kenyataan.

Lim Lip Eng.

Beliau berkata, Jalaluddin mempunyai tanggungjawab memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai peruntukan undang-undang tertentu yang memberi kuasa kepadanya mengenakan larangan seumur hidup terhadap pemilik kelab itu.

Terdahulu, dilaporkan Jalaluddin berkata, jawatankuasa pelesenan DBKL telah bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab berkenaan berkuatkuasa 30 Jul, dan pemilik juga tidak boleh mendaftarkan sebarang perniagaan di bandar itu walaupun dengan nama atau syarikat berbeza.

Lim yang memetik sumber tak dinamakan mendakwa jawatankuasa pelesenan DBKL hanya mengesyorkan Rizal disenarai hitam selama setahun sahaja.

Beliau yang merupakan pengerusi biro aduan awam DAP juga, mempersoalkan sama ada Jalaluddin membuat pengumuman itu secara sendiri, bertentangan dengan syor jawatankuasa pelesenan DBKL.

“Jika begitu, apa niatnya? soalnya lagi.

Khamis lalu, peguam Crackhouse Comedy Club, berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah, melainkan arahan pembatalan lesen dan senarai hitam itu ditarik balik dalam tempoh 48 jam.

Menurut mereka, pemilik terbabit tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan itu, malah tidak pernah didapati bersalah atas sebarang kesalahan bagi mewajarkan keputusan DBKL itu.

Keputusan senarai hitam itu menyusul tindakan DBKL menggantung sementara operasi kelab komedi itu awal bulan lalu, susulan klip video tular memaparkan seorang wanita menanggalkan pakaian menutup aurat ketika melakukan persembahan.

Wanita itu didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan umat Islam. Teman lelakinya pula didakwa memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Pengasas bersama kelab berkenaan, Rizal van Geyzel turut ditahan susulan kemunculan semula beberapa video lama yang menunjukkan persembahan komedi kontroversi.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.