Serangan terhadap hakim ganggu kebebasan badan kehakiman, kata Peja

Serangan terhadap hakim ganggu kebebasan badan kehakiman, kata Peja

Ahli Parlimen Tambun itu yakin ia sengaja dilakukan untuk kepentingan tertentu.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, berkata menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara.
PETALING JAYA:
Serangan terhadap hakim Mahkamah Persekutuan yang terlibat dalam prosiding rayuan akhir Najib Razak disifatkan sengaja dilakukan bertujuan mengganggu kebebasan badan kehakiman, kata Ahli Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga menteri belia dan sukan, berkata tindakan itu perlu dihentikan serta merta kerana mengundang persepsi negatif, selain memalukan negara.

Katanya, ia bukan sahaja tidak beretika dan mengganggu sistem badan kehakiman, malah lebih malang serangan terbuka itu dilakukan di media sosial.

“Serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang. Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara.

“Secara peribadi, saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi,” katanya dalam kenyataan.

Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu, berkata walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat bersuara dan memberi kritikan, namun ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan peribadi disulami niat jahat untuk kepentingan tertentu.

“Justeru, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab memastikan integriti institusi badan kehakiman sentiasa dipertahankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.