
Rata-rata mereka yang ditemui FMT enggan dikaburi janji gaji tetap, cuti tahunan dan kemudahan lain, sebaliknya mereka mengingatkan kerajaan dan pihak berkenaan bahawa pekerja ekonomi gig tidak mahu terikat dengan sistem bermajikan, mahupun digelar “rider” bergaji tetap dan sepenuh masa.
Malah, ramai menceburi ekonomi gig untuk meraih pendapatan tambahan dan pada masa sama, mempunyai kebebasan menceburi bidang pilihan untuk membentuk masa depan cerah, selain boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Kalau macam tu (tawaran kerja sepenuh masa bermajikan), baik kami kerja macam di tempat kerja sebelum ini. Tak ada masa dengan keluarga, lepas itu kena ikut peraturan semua. Kalau (kerja) macam sekarang dah okey dah. Tak payah nak rumitkan lagi, nanti semua penghantar makanan memberontak,” kata Siti Nur Aisyah, 29.
Rakannya, Nur Izzati Amran turut menolak “gambaran” indah yang cuba disajikan mengenai kebaikan menjadi rider berstatus pekerjaan tetap.
“Dengan majikan, kita terikat. Nak ambil cuti sakit pun kena fikir orang akan ganti tempat kita. Agak susah sikit (kerja bermajikan) berbanding penghantar makanan gig.
“Bekerja sebagai penghantar makanan, waktu memang fleksibel. Kalau ada kecemasan, kita boleh terus berhenti (sekejap), lepas itu kalau nak sambung kerja balik pun boleh. Tak terikat pun.”
Status pekerjaan tetap untuk penghantar makanan menjadi polemik selepas sebuah syarikat tempatan menawarkan pekerjaan sepenuh masa dengan gaji sehingga RM3,000 kepada mereka. Beberapa insentif lain turut ditawarkan.
Hakikatnya, walaupun dihimpit beberapa masalah, ramai penghantar makanan – tanpa terikat kepada terma kerja tetap atau mempunyai kelulusan pendidikan tinggi – mampu meraih pendapatan RM4,000 hingga RM7,000 sebulan.
Mereka sebahagian daripada 400,000 penghantar makanan atau “rider” dalam talian yang menjadi segmen penting dalam ekonomi gig negara dan memacu syarikat gergasi seperti Grab dan Panda yang seterusnya menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara menerusi kutipan cukai daripada keuntungan diraih mereka, selain menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat, khususnya belia.

Namun, usia muda kebanyakan penghantar makanan menjadi “umpan” untuk ramai pihak berkepentingan tampil mengangkat diri sebagai “pembela” kebajikan belia dengan menawarkan pelbagai penyelesaian tanpa melihat realiti dan keinginan mereka.
Justeru, kini diperkenalkan keperluan untuk “rider” mendapatkan lesen vokasional yang memerlukan mereka menghadiri kursus pendek dan dikenakan bayaran tertentu. Itu daripada Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan pula mengumumkan beliau akan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mewujudkan jaringan keselamatan bagi pekerja p-panggilan dan e-panggilan.
Persoalan penting ialah sejauh mana “pembelaan” yang dicanang ini dibuat secara holistik dan dijamin dapat membela nasib pekerja ekonomi gig dan kepentingan syarikat yang melabur berbilion ringgit untuk mewujudkan model perniagaan ekonomi gig berdaya saing.
Kehadiran syarikat sedemikian juga sekali gus mengisi keperluan ratusan ribu orang yang mahu menikmati pendapatan sampingan, khususnya ketika ekonomi negara masih di landasan pemulihan selepas dibadai pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Pakar Ekonomi & Muamalat dari Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, kerajaan mahupun pihak yang mahu menjuarai nasib “rider” dan pekerja ekonomi gig tidak boleh mengetepikan kepentingan syarikat yang menerokai bidang itu sendiri.
Katanya, syarikat terbabit boleh memberi imbuhan agak tinggi kepada pekerja sambilan mereka (rider) kerana model perniagaan mereka memberi kelebihan untuk berbuat demikian.
“Ada sesetengah pekerja tidak mahu hilang kebebasan dan keanjalan yang mereka ada sebelum ini. Tidak perlulah disekat dan menghalang kebebasan mereka sebelum ini dengan mencadangkan sistem bermajikan atau pekerjaan tetap.”
Beliau berkata, kemunculan pihak tertentu dalam menjuarai masalah dihadapi pekerja ekonomi gig perlu harus diperinci secara teliti dan bebas daripada keinginan untuk dilihat sebagai jaguh pekerja semata-mata.
Justeru, di sebalik keghairahan pihak tertentu menawarkan pekerjaan tetap dengan terma dan syarat tersendiri kepada pekerja p-hailing dan pihak lain pula mahu memperkenalkan pelbagai skim perlindungan, persoalan pokok akan sentiasa berpaksi kepada jumlah pendapatan yang mampu diraih pekerja ekonomi gig itu sendiri.
“Gaji yang kita dapat di bawah majikan tak sama dengan bayaran sebagai penghantar makanan dalam talian, yang sehari boleh cecah RM200-RM250 atau RM300. Kalau di bawah majikan dapat RM90 dan paling minimum pun RM100,” kata Iman, “rider” dari Kuala Selangor yang mencari rezeki di Kuala Lumpur.
Sumber industri p-hailing memberitahu FMT, setakat ini, belum ada usaha mengadakan libat urus antara kerajaan dan semua pemegang taruh “secara serius” bagi merangka pelan tindakan atau “road map” komprehensif mengenai masa depan ekonomi gig.
Menurut mereka, jika dirangka pelan tindakan sedemikian, sudah tentu ia akan merangkumi aspek kebajikan pekerja.
“Apa-apa perbincangan untuk memperkukuhkan sektor perlu adil dan saksama, tak kisahlah ada dasar atau idea baharu dilaksanakan, ia perlu sejajar matlamat yang cuba didasarkan kerajaan seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12,” kata Umi.