
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur berkata, perkara itu perlu memandangkan ketika ini KWSP sudah membenarkan pengeluaran daripada Akaun Fleksibel bila-bila masa.

“Namun, sekiranya ia tak mencukupi maka selayaknya mereka boleh memohon pengeluaran atas pertimbangan KWSP,” katanya kepada FMT.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat kelmarin berkata, KWSP boleh memberi pertimbangan khas untuk pengeluaran simpanan pencarum tetapi mesti melibatkan kes tertentu yang kritikal walaupun di luar syarat dan kaedah sedia ada.
Beliau berkata, namun tidak ada kelonggaran berlebihan akan diberikan selari dengan prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua pencarum dan tindakan membuka ruang terlalu luas untuk akses pengeluaran simpanan hanya akan ‘menghukum’ pencarum ketika bersara.
Aimi berkata, jika KWSP mempertimbangkan cadangan itu maka satu garis panduan kategori dikira ‘mendesak’ perlu diwujudkan supaya tiada pihak sewenang-wenangnya mengeluarkan simpanan tanpa sebab munasabah.
“KWSP juga perlu mengadakan siasatan kesahihan setiap permintaan, sama ada melalui jabatan khas mahupun pihak ketiga dilantik sebagai panel. Ini untuk memastikan kes diterima itu sah dan KWSP akan lebih memahami apa berlaku di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kenyataan perdana menteri mungkin merujuk pengeluaran Akaun Fleksibel yang dibenarkan ketika ini.
Bagaimanapun, katanya apa yang penting adalah pemikiran pencarum bahawa simpanan KWSP hanya untuk persaraan dan tidak boleh disentuh kecuali sudah tiada alternatif lain selain Akaun Sejahtera dan Fleksibel.
“Pencarum sebenarnya boleh mencari peluang bantuan daripada pelbagai pihak lain seperti bantuan fiskal kerajaan persekutuan dan negeri antaranya baitulmal, zakat, wakaf dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan NGO,” katanya.
Katanya, jika pencarum mahukan lebih ruang untuk mengeluarkan wang daripada simpanan KWSP, mereka perlu berusaha meningkatkan jumlah caruman melalui kenaikan gaji atau caruman sukarela.
“Jika lebih banyak jumlah wang masuk ke Akaun Sejahtera dan Fleksibel, ia boleh digunakan untuk maksud kecemasan,” katanya.