Proses minuman keras tanpa lesen, 4 warga asing dicekup

Proses minuman keras tanpa lesen, 4 warga asing dicekup

Mereka ditahan selepas kastam menyerbu sebuah gudang di Batu Arang, Selangor yang dijadikan tempat proses minuman keras tanpa lesen.

Ketua Pengarah Kastam Zazuli Johan (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan botol berisi arak yang dirampas Kastam Zon Tengah Unit III (LTAKL) di Kompleks Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Empat warga asing disyaki melakukan pengilangan minuman keras tanpa lesen bernilai RM3.4 juta ditahan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah melakukan dua serbuan di sekitar Lembah Klang, 21 Julai lalu.

Dalam serbuan pertama di sebuah gudang di Batu Arang, Selangor, kastam menahan empat lelaki warga asing berusia antara 24 dan 37 tahun.

Ketua Pengarah Kastam, Zazuli Johan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menyita minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai sebanyak 5,876 liter yang dianggarkan bernilai RM414,891 dengan duti terlibat sebanyak RM462,105.

Beliau berkata, turut disita peralatan memproses minuman keras seperti mesin memproses bahan mentah, tong berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, label minuman keras, kotak minuman keras dan setem cukai kastam disyaki palsu dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya.

Zazuli berkata, pada hari sama, kastam melakukan satu lagi serbuan di sebuah gudang yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai di Puncak Alam, Selangor dan menyita 22,355 liter minuman keras bernilai RM1.01 juta dengan anggaran cukai terlibat sebanyak RM1.43 juta.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua premis gudang terbabit dipercayai menjalankan aktiviti memproses minuman keras tanpa lesen melebihi enam bulan.

“Modus operandi kedua-dua kes terbabit adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai pusat memproses, mengilang dan menyimpan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Jumlah rampasan minuman keras dalam dua serbuan itu ialah 28,231 liter dengan nilai keseluruhan ialah RM3.4 juta,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 5(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.