‘Kerusi MN’ sandiwara PAS tumpang kekuatan BN, kata Veteran Umno

‘Kerusi MN’ sandiwara PAS tumpang kekuatan BN, kata Veteran Umno

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub meminta parti itu tidak melayan sandiwara PAS yang disifatkannya ibarat melukut di tepi gantang.

Mustapha Yaakub berkata, tidak timbul kerjasama antara PAS dan Umno, selepas parti itu memutuskan untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional.
PETALING JAYA:
Veteran Umno menolak cadangan pemimpin PAS untuk kedua-dua parti bekerjasama bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi yang berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata, parti itu tidak perlu termakan dengan cadangan berkenaan untuk PAS menumpang kekuatan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU15, selepas menyedari ia tidak mampu bergantung dengan kekuatan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ini sandiwara PAS saja, Umno tak perlu layan. Mereka sudah buat keputusan bersama PN dan Bersatu, kita juga sudah buat keputusan akan bergerak solo, tak payah timbul lagi cerita nak kerjasama, runding dan sebagainya.

“Soal risiko hilang kerusi kepada PH, jika PAS-Umno bertembung, kita hadap saja, tak kira dua penjuru, tiga penjuru, kita lawan sajalah.

Mustapha Yaakub.

“PAS sudah sedar kedudukan mereka dalam PN, ibarat melukut di tepi gantang saja, dulu mereka nak menumpang Bersatu, tapi ternyata Bersatu tumpang PAS, sekarang nak tumpang kekuatan jentera BN,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki dilaporkan berkata, Umno dan PAS perlu kembali ke meja rundingan bagi memastikan dua parti itu tidak bertembung di 27 kerusi.

Beliau turut mencadangkan kerusi itu dinamakan “kerusi Muafakat Nasional (MN)” bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan kedua-dua parti.

Pada PRU14, katanya, 20 daripada 27 kerusi di Semenanjung Malaysia jatuh ke tangan PH sehingga menyaksikan gabungan itu berjaya menjadi kerajaan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan kemudian menyambut baik cadangan itu.

Mustapha berkata, PAS seolah-olah meninggalkan MN, apabila bersetuju menubuhkan PN bersama Bersatu.

“Jadi, PAS tak perlu longgok kesalahan kepada Umno, kononnya tak mahu bekerjasama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.