Kenapa tanding bawah PSB jika menentang politik parti, See disoal

Kenapa tanding bawah PSB jika menentang politik parti, See disoal

Sekretariat PSB berkata ADUN Batu Lintang itu tidak pernah menyatakan sebarang keraguan atau bantahan mengenai politik parti.

ADUN Batu Lintang See Chee How sebelum ini berkata beliau keluar PSB untuk membebaskan diri daripada politik parti bagi membolehkannya meluangkan masa berkhidmat sebagai wakil rakyat.
PETALING JAYA:
Parti Sarawak Bersatu (PSB) mempersoalkan mengapa ADUN Batu Lintang tiga penggal See Chee How bertanding bawah tiket parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada Disember jika beliau menentang politik parti.

Sekretariat PSB berkata, See, yang menyertai PSB pada Mei 2020 sepatutnya meletakkan jawatan dalam parti itu pada Disember dan bertanding sebagai calon bebas.

Dalam kenyataan, sekretariat parti itu berkata, See tidak pernah sekali pun menyatakan sebarang keraguan atau bantahan mengenai politik parti, walaupun pernah menjadi anggota kepimpinan PSB.

Katanya, See terlibat dalam banyak keputusan parti, termasuk menemuduga dan memilih calon untuk PRN lalu.

“Tidak pernah ada sebarang aduan tentang ‘politik parti’ daripada See. Jadi, kita terkejut bahawa beliau telah memilih untuk menggunakan politik kepartian sebagai alasannya untuk keluar daripada PSB selepas memenangi kerusi sebagai calon parti.

“PSB menamakan beliau sebagai calon kami bagi kawasan Batu Lintang kerana kami percaya kepadanya dan beliau berkongsi cita-cita kami. Malangnya, nampaknya kami tersilap,” kata sekretariat itu.

Sebelum ini, See berkata, keputusannya meninggalkan PSB adalah untuk membebaskan dirinya daripada politik kepartian, membolehkannya meluangkan lebih banyak masa dalam tugasnya sebagai ADUN dan bekerjasama dengan orang lain, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), yang berkongsi misinya untuk Sarawak yang lebih baik.

Sekretariat PSB juga melahirkan rasa terkejut apabila See mengisytiharkan beliau akan “mesra” kepada GPS, kerana pernah menjadi ahli politik pembangkang sepanjang karier politiknya.

Ia juga menyeru See bertindak secara terhormat dan “menyerahkan diri” kepada pengundi Batu Lintang dalam pilihan raya kecil sebagai calon bebas.

See pertama kali memenangi kerusi DUN Batu Lintang pada PRN Sarawak ke-10 pada 2011 sebagai calon PKR dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya 2016, sebelum bertukar kepada PSB untuk menang kali ketiga pada PRN tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.