
Pada masa sama, katanya, isu membabitkan pemberian subsidi kepada penternak bagi membolehkan ayam standard dijual pada harga siling runcit RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia juga perlu diperhalusi.
“Jadi, isunya kita tidak boleh hanya tangani soal eksport, kita kena tangani juga soal selama mana subsidi itu nak dikekalkan.
“Kalau kita tiba-tiba terus membenarkan eksport dan pada masa yang sama ditamatkan subsidi, maka harga ayam akan melambung sekali lagi,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid bahawa Kabinet akan memuktamadkan keputusan sama ada membenarkan semula penternak mengeksport ayam atau sebaliknya semalam.
Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, Kabinet ada membincangkan isu kebenaran mengeksport ayam dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah mengemukakan beberapa syor.
Beliau berkata, keperluan ayam dalam negara adalah 70 juta ekor sebulan atau kira-kira 2.2 juta ekor sehari dan walaupun dikatakan bekalan melebihi keperluan ketika ini, iaitu kira-kira 3.5 juta ekor, namun kerajaan hanya akan membenarkan eksport, jika ia tidak menjejaskan keperluan domestik.
“Demi menjaga kepentingan rakyat kerana ayam sudah boleh dianggap satu keperluan asas bagi semua keluarga, kerajaan akan hanya buat keputusan selepas semua perkara diteliti dan satu kaedah akan diperkenal, sekiranya nanti ayam hendak dieksport.
“Jadi, jawatankuasa jihad akan lihat perkara ini dan nantinya bila dah ada satu pendekatan, barulah mungkin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan boleh membawa semula kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya.
Annuar berkata, Pasukan Jihad Tangani Inflasi sudah mengarahkan Jabatan Perangkaan membuat kajian bagi menetapkan kos sebenar ayam di peringkat ladang.
Beliau berkata, kaedah itu sama seperti yang dilakukan untuk menetapkan harga siling minyak masak tulen botol dan kerajaan mengambil kira harga komoditi sawit dari pelbagai sudut, sebelum menetapkan harga munasabah yang perlu dibayar rakyat.
“Sepertimana yang kita lakukan untuk minyak masak, apabila harga CPO (minyak sawit mentah) berada pada tahap tertentu, kita boleh kira berapa harga adil yang harus pembeli runcit membelinya, dengan kita meletakkan satu paras harga maksimum.
“Dengan cara demikian, harga minyak yang dibeli oleh rakyat kita dapat pastikan ia rendah dan tidak berlaku pencatutan yang menyusahkan orang ramai,” katanya.